Our Development

Register Now!
Call Us!
Register Now!
Call Us!

Glomac lancar Sukuk Wakalah RM3 bilion, perkukuh kewangan

Dari kiri, Ketua Pasaran Modal Islam Maybank Islamic, Isham Mohd Isa; Pengarah Bebas Bukan Eksekutif Glomac, Mohd Razlan Mohamed; Pengarah Bebas Bukan Eksekutif, Datuk Mohd Adzahar Abdul Wahid; Pengarah Eksekutif Glomac Bina, FD Idzham FD Iskandar; Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Glomac, Datuk Seri FD Iskandar FD Mansor; Pengerusi Bukan Eksekutif, Tan Sri Mohamed Mansor Fateh Din; Pengerusi Maybank, Tan Sri Ir Zamzamzairani Mohd Isa; Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Khairussaleh Ramli; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Perbankan Global, Datuk John Chong; dan Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Investment Bank, Michael Oh-Lau.

KUALA LUMPUR: Glomac Bhd memeterai kerjasama strategik dengan Maybank bagi memperkukuh kedudukan kewangannya melalui penerbitan Sukuk Wakalah bernilai sehingga RM3 bilion.

Program Sukuk Wakalah itu, yang berlandaskan prinsip Syariah Wakalah Bi Al-Istithmar, merupakan sebahagian daripada strategi jangka panjang Glomac bagi memastikan kestabilan kewangan dan pertumbuhan berterusan kumpulan.

Hasil daripada penerbitan sukuk ini akan digunakan untuk pembelian tanah, perbelanjaan modal serta modal kerja bagi memperkukuh operasi syarikat.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Glomac, Datuk Seri FD Iskandar FD Mansor, berkata inisiatif ini akan mengukuhkan rizab kewangan syarikat selain membolehkan Glomac mengoptimumkan liabiliti yang mempunyai kadar faedah tinggi.

“Program Sukuk Wakalah RM3 bilion ini membolehkan Glomac mengakses modal pada bila-bila masa diperlukan, selain meletakkan syarikat dalam kedudukan kukuh untuk merebut peluang baharu.

“Kerjasama strategik dengan Maybank ini juga akan meningkatkan kredibiliti dan kedudukan pasaran Glomac sebagai salah satu pemaju pilihan utama di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

Maybank Investment Bank bertindak sebagai Penasihat Utama, Penyusun Utama dan Pengurus Utama, manakala Maybank Islamic Berhad pula sebagai Penasihat Syariah bagi program berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Investment Bank, Michael Oh-Lau, berkata Program Sukuk Wakalah ini dirangka secara fleksibel bagi membolehkan Glomac menerbitkan sukuk sama ada berpenarafan atau tidak berpenarafan, termasuk dalam format pembiayaan lestari.

“Maybank berbesar hati menjadi rakan strategik dalam langkah pertama Glomac memasuki pasaran modal hutang dengan menyediakan penyelesaian kewangan menyeluruh berdasarkan kekuatan kami dalam perbankan global, pasaran modal dan kewangan Islam,” katanya.

Sebagai sebahagian daripada strategi jangka panjangnya, Glomac juga sedang meneroka peluang untuk mempelbagaikan operasi ke dalam sektor berkaitan, termasuk tenaga hijau.

Ketika ini, syarikat memiliki portfolio tanah strategik dengan nilai pembangunan kasar (GDV) dianggarkan sekitar RM7 bilion, yang meletakkannya pada kedudukan kukuh bagi pembangunan berterusan di masa hadapan.

Glomac akan terus memberi tumpuan kepada pembangunan perbandaran mampu milik hingga pasaran pertengahan, khususnya di Lembah Klang dan Johor, di mana syarikat mempunyai rekod cemerlang sebagai pemaju hartanah terkemuka.

Source: Berita Harian

©️ 2024 Glomac Berhad [Registration No. 198301015139 (110532-M)] All Rights Reserved. PDPA & Privacy Policy

Register Your Interest