Our Development

Register Now!
Call Us!
Register Now!
Call Us!

Glomac umum dividen 2.25 sen sesaham

KUALA LUMPUR – Glomac Berhad (Glomac), mencatatkan prestasi kewangan memberangsangkan bagi suku keempat tahun kewangan berakhir 30 April 2025 dengan pendapatan tidak diaudit sebanyak RM74.9 juta dan keuntungan sebelum cukai (PBT) berjumlah RM12.1 juta.

Menurut Glomac, bagi keseluruhan tahun kewangan 2025, kumpulan meraih pendapatan sebanyak RM283.3 juta disokong oleh aktiviti pembinaan berterusan projek-projek seperti Saujana Perdana, Lakeside Residences dan Plaza@Kelana Jaya.

PBT meningkat kepada RM33.4 juta daripada RM32.9 juta pada tahun sebelumnya.

“Peningkatan itu didorong oleh margin lebih kukuh daripada pembangunan bernilai tinggi, keuntungan pelupusan harta pelaburan serta kos pembiayaan yang lebih rendah,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Tambah kenyataan itu, antara projek utama yang telah disiapkan termasuk 121 Residences, pembangunan kediaman bertingkat tinggi dengan nilai pembangunan kasar dianggarkan (GDV) RM334 juta.

“Penyempurnaan projek itu mencerminkan komitmen Glomac terhadap penyampaian berkualiti tinggi serta kepatuhan kepada jadual pembinaan,” katanya lagi.

Dari sudut kewangan, Glomac terus berada dalam kedudukan kukuh dengan dana pemegang saham berjumlah RM1.2 bilion.

Setakat 30 April 2025, kumpulan memiliki wang tunai dan baki bank sebanyak RM235.7 juta sekali gus menyediakan kecairan kukuh bagi menyokong pembangunan dan peluasan tanah strategik.

Menurut Glomac, aset bersih sesaham kekal pada RM1.56, menunjukkan nisbah harga kepada buku sekitar 0.20 kali.

Dalam suku keempat, Glomac turut melancarkan beberapa projek baharu termasuk rumah berkembar di KEYS, Lakeside Residences, rumah teres dua tingkat di ALLAMANDA, Saujana KLIA dan ALAMANDA, Saujana Jaya, Kulai, Johor.

“Kami berjaya menjual sepenuhnya 112 unit rumah teres dua tingkat di Bandar Saujana Utama yang dilancarkan pada suku pertama tahun kewangan,” katanya sambil memaklumkan jualan keseluruhan bagi TK2025 berjumlah RM332 juta.

Menjelang tahun kewangan 2026 (TK2026), Glomac merancang pelancaran baharu dengan anggaran GDV sebanyak RM324 juta, merangkumi dua fasa teres dua tingkat di Serai@SBCR dan rumah berkembar di KEYS, Lakeside Residences.

“Glomac kekal berdisiplin dalam memperkenalkan produk baharu yang memenuhi permintaan pasaran semasa,” menurut kenyataan itu.

Glomac juga mengukuhkan keupayaan kewangan menerusi Program Sukuk Wakalah bernilai sehingga RM3 bilion serta simpanan tanah strategik berpotensi tinggi dengan GDV terkumpul sekitar RM6 bilion.

Dalam pada itu, Glomac mencadangkan pembayaran dividen akhir sebanyak 1.25 sen sesaham biasa bagi TK2025, tertakluk kepada kelulusan pemegang saham dalam Mesyuarat Agung Tahunan akan datang.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan pembayaran dividen bagi tahun tersebut sebanyak 2.25 sen sesaham.

“Dividen itu mencerminkan keyakinan kami terhadap prospek masa depan syarikat serta komitmen kepada pemegang saham,” katanya.

Glomac turut meraih beberapa pengiktirafan pada tahun ini, termasuk Top 20 Property Developers Awards oleh The Edge Malaysia Property Excellence Awards 2025, selain menerima The All-Stars Award Top 10 Listed Companies.

Di StarProperty Awards 2025, Glomac turut dianugerahkan ‘Honours’ bagi kategori The Family Friendly Award 2025, Best Family Centric Development (Landed) untuk projek Serai@SBCR, serta The Neighbourhood Award 2025 dan Best Comprehensive Township (Below 500 Acres) bagi KEYS, Lakeside Residences.

“Penghargaan itu membuktikan komitmen Glomac untuk terus menjadi peneraju pembangunan hartanah di Malaysia menerusi projek berimpak tinggi dan berorientasikan komuniti,” katanya.

Source: Malaysia Tribune

©️ 2024 Glomac Berhad [Registration No. 198301015139 (110532-M)] All Rights Reserved. PDPA & Privacy Policy

Register Your Interest