
KUALA LUMPUR 3 April – Glomac Bhd yakin mampu melepasi sasaran jualan hartanah baharu RM360 juta bagi tahun kewangan 2024 (FY24) walaupun hanya mencatatkan RM162 juta bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun kewangan 2025 (9M25).
Menurut TA Securities, keyakinan itu disokong oleh sambutan yang menggalakkan terhadap fasa baharu pejabat kedai yang dilancarkan di Saujana Perdana pada Disember 2024, yang mencatatkan kadar penyertaan lebih 50%.
“Ini dijangka menjadi asas bagi jualan suku keempat FY25 (4Q25), dengan anggaran sumbangan sekitar RM65 juta,” kata TA Securities dalam nota kajiannya.
Firma penyelidikan itu berkata, Glomac bakal melancarkan tiga projek baharu pada 4Q25 dengan jumlah nilai pembangunan kasar sebanyak RM298 juta.
Katanya, kumpulan tersebut juga telah menerima tempahan awal sekitar RM50 juta.
Namun TA Securities berkata, projek Loop City Residences yang dilancarkan pada April 2024, mencatatkan permulaan yang agak perlahan dengan kadar pengambilan hanya 9%.
Loop City Residences, fasa pertama daripada pembangunan besar 6.20 hektar Loop City Development, terdiri daripada 980 unit SoHo dan pangsapuri perkhidmatan yang dijual pada harga purata RM320,000 setiap satu.
“Kelembapan momentum ini sebahagian besarnya disebabkan oleh persaingan sengit daripada projek bertingkat tinggi di sekitar kawasan Puchong,” kata TA Securities.
Untuk menarik lebih banyak pelanggan, Glomac merancang pelancaran semula berskala besar selepas cuti Hari Raya Aidilfitri, disokong oleh kempen pemasaran yang agresif.
Pihak pengurusan menyasarkan kadar pengambilan antara 50% hingga 60% menjelang akhir 2025.
Menurut TA Securities, Glomac juga sedang bersiap sedia untuk meningkatkan saluran pembangunannya, dengan perancangan untuk meningkatkan pelancaran tahunan kepada RM700 juta hingga RM800 juta bermula FY26, berbanding RM400 juta hingga RM500 juta pada FY25.
Pada masa yang sama, kumpulan juga aktif meneroka peluang pemerolehan tanah strategik, terutamanya di kawasan yang mempunyai permintaan tinggi seperti Lembah Klang.
Fokus mereka adalah pada tanah yang sesuai untuk pembangunan bertingkat tinggi dengan tempoh siap yang pantas.
Dengan nisbah hutang ekuiti yang rendah hanya 0.03 kali berbanding purata sektor 0.4 kali, Glomac berada dalam kedudukan yang baik untuk memanfaatkan peluang berkenaan untuk menyokong pertumbuhan jangka panjangnya.
TA Securities berkata, kejayaan dalam mencapai sasaran jualan bergantung kepada pelaksanaan yang cekap dan sasaran Glomac dilihat meyakinkan.
“Dengan hanya RM162 juta dalam jualan baharu dicatatkan pada 9M25, kami percaya pencapaian lebih RM360 juta tahun ini mungkin mencabar, walaupun dengan sokongan daripada Saujana Perdana dan pelancaran projek akan datang,” ujarnya.
Oleh itu, firma penyelidikan tersebut mengekalkan unjuran jualan FY25 sebanyak RM280 juta.
Ia mengekalkan anggaran pendapatan untuk kumpulan tersebut, disokong oleh jualan belum dibayar Glomac sebanyak RM475 juta, yang memberikan pendapatan untuk 12 hingga 18 bulan akan datang.
Dari segi penilaian, TA Securities mengekalkan penarafan “pegang” untuk Glomac dengan harga sasaran yang tidak berubah iaitu 38 sen
Source: DagangNews.com